Anugerah Istimewa Kurniaan Ilahi
Dalam keadaanku menekan dada menahan gelora
tika menyelirat fikiranku bertafakur
mencari tafsiran untuk peristiwa hiba
puas aku menyelami lambang yang terkandung
takwil cahaya mataku dilahirkan begitu
Ibuku tercinta mendatangiku
katanya wahai zuriatku sayang
hentikanlah kepiluan dalam hatimu
bersangka baiklah terhadap Ilahi
Tuhan Yang Menguasai seluruh alami
mohonlah yang terbaik dari anugerah ini
Telahku pohon pada Tuhan
Yang Mempunyai Arasy yang Agung
sudahku pinta dengan ayat-ayat shifaNya
dengan sabar aku mencari penawar
ke hujung dunia aku datangi
dengan harapan setinggi gunung
shifa untuk cahaya mataku
Sepahit hempedu untuk aku telan
hakikat yang terlalu menekan
dua purnama kemudian
aku pasrah dan menyerah diri
kepada kekuasaan, Tuhan Yang Kuasa
siapalah aku untuk memaksa
menyelami kiasan yang dilambang
cahaya mataku dilahirkan tidak sempurna
Sehinggalah satu masa
ibuku mendatangi aku lagi
bertanyakan khabar
tentang zuriat turun temurunnya
Beginilah keadaannya, ibu
walaupun belum senyum
aku masih mengharap
air mata hibanya tidak pernah kering
siangnya jadi malam,
malamnya bertukar siang
makannya tak pernah kekal di dalam
kurus tubuh kecilnya tidak berisi
tidak bisa berjalan mahupun duduk
terlantar tidak bermaya
tidak mampu membuat pergerakan
seluruh tubuhnya keras dan kejang
sukar untuk aku mengerti
entah bisa mendengar
entah bisa melihat
begitulah dia dengan dunianya
perkembangannya, pendakian perlahan
seluruh pelusuk aku mencari ikhtiar
tidak lupa memanjatkan doa
kepada Maha Pemberi Syifa
Kata ibu wahai zuriatku
apa lagi yang engkau mahu
kunci syurga ada ditanganmu
peliharalah dia dengan kasihmu
Aku terpegun tanpa ucapan
sebesar alam raya dunia sejagat anugerah ini
keberkatan rahmat dari Ilahi
sebaik-baik Pemberi rahmat
kini aku menginsafi dan mengerti
selama ini aku tidak menyadari
kunci syurga yang ada ditanganku
anugerah istimewa kurniaan Ilahi
lightnur 15/1/2011 (Blogger)