Saturday, January 24, 2009

Kosmo - 23hb Januari 2009

Miliki kekuatan luar biasa( http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0123&pub=Kosmo&sec=Pesona&pg=ps_01.htm) Apakah perasaan anda apabila doktor mengesahkan bayi yang sedang dikandung akan lahir sebagai seorang yang tidak sempurna mental dan fizikalnya? Wartawan FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA menyelami perasaan seorang ibu yang mempunyai anak sindrom down. APABILA doktor mengesahkan Rohana Abdul Razak mengandung, dia begitu teruja. Walaupun dia telah mempunyai empat orang anak, tetapi kehamilan kali ini dirasakan agak berbeza. Keterujaan itu ada sebabnya. Ini kerana keempat-empat anak yang dilahirkan sebelum itu ialah anak perempuan. Jadi, doa dipanjatkan agar kehamilan kali ini dikurniakan seorang anak lelaki. Namun, harapan Rohana musnah tatkala mendapat perkhabaran dari doktor menjelang dua minggu detik kelahiran anak kelimanya. Doktor mendapati anak yang bakal dilahirkan bukanlah seperti kanak-kanak biasa. Dia bakal mendapat anak perempuan 'abnormal' "Masa itu, saya sedih sangat. Keadaan rumah tangga tidak berapa baik sebab masing-masing dalam keadaan tertekan. Saya menjadi murung dan pendiam. Setiap malam, saya buat sembahyang hajat minta petunjuk daripada Allah," "Akhirnya, saya reda. Mungkin Tuhan hendak menguji saya. Kita hanya merancang, tetapi Tuhan yang menentukan segalanya. Saya terima apa saja yang dikurniakan Tuhan," katanya kepada wartawan Kosmo! ketika ditemui di rumahnya di Seksyen 19, Shah Alam, Selangor baru-baru ini. Umum mengetahui, kanak-kanak sindrom down mempunyai wajah hampir serupa walaupun dilahirkan daripada ibu berbangsa India, Cina, Melayu dan lain-lain bangsa di dunia. Kanak-kanak sindrom down biasanya lebih berisiko tinggi untuk mendapat penyakit jantung berbanding dengan kanak-kanak biasa. Mereka juga bakal berdepan dengan pelbagai penyakit lain. Malah, jangka hayat mereka juga tidak lama. Bedah memberitahu, selepas hari kedua kelahiran, anaknya terpaksa dibedah kerana doktor mendapati saluran membuang najisnya tertutup (tidak mempunyai pembukaan najis). Keadaan menjadi semakin kritikal, kerana perut anaknya semakin membesar akibat gas terkumpul di dalam perut. Ini boleh mengakibatkan najis keluar melalui saluran lain iaitu mulut. "Doktor terpaksa melakukan pembedahan colostomy" katanya. Pembedahan colostomy dibuat bagi membolehkan najis terkumpul dikeluarkan. Melalui colostomy, perut kanak-kanak itu akan ditebuk dan dipasang beg khas sebagai saluran membuang najis. Menurut Rohana, selepas tiga minggu anak yang diberi nama Nabila itu dilahirkan, dia dijangkiti pula dengan penyakit jantung kongenital. Malah, setiap injap jantungnya berlubang termasuklah injap utama. Ini memaksa doktor melakukan pembedahan kali ketiga ke atas Nabila. Keadaan Nabila yang seperti nyawa dihujung tanduk menyebabkan Rohana banyak menghabiskan masa di hospital. Keadaan itu juga menyebabkan Rohana terpaksa berhenti kerja sebagai Eksekutif Sumber Manusia di sebuah syarikat penerbangan bagi menumpukan sepenuh masa kepada Nabila. "Pada masa itu, anak saya lebih penting daripada pekerjaan. Pada mulanya, saya fikir tindakan saya berhenti kerja bakal menghadapi masalah dari segi kos perubatan Nabila nanti. Namun kata suami, dia bekerja dan mampu menyara keluarga termasuk menanggung kos perubatan Nabila," kata ibu kepada enam orang anak perempuan itu. Selepas Nabila, Rohana melahirkan anak keenam, juga seorang perempuan. Rohana memberitahu, keadaan Nabila ketika itu kritikal dan doktor mengesahkan berkemungkinan anaknya tidak dapat bertahan lama. Namun, keadaan sebaliknya berlaku. "Nabila selamat selepas menjalani pembedahan. Doktor beritahu kanak-kanak ini (Nabila) mempunyai kekuatan luar biasa," katanya yang menceritakan detik cemas tersebut. Kini, Nabila sudah mencecah umur 13 tahun. Bagaimanapun, pembedahan kali keenam perlu dihadapinya pada 27 Mac ini. Ini kerana, doktor mengenal pasti beberapa kecacatan baru pada jantungnya dan pembedahan untuk membetulkannya adalah penting. Namun begitu, Rohana menghadapi tekanan kerana kos pembedahan Nabila dijangka mencecah RM40,000 dan mungkin lebih. Suami Rohana pula, kini menghadapi masalah dalam pekerjaan sekali gus membuatkan keluarga itu dalam dilema. Tekanan yang berulangkali dihadapi menyebabkan Rohana terlantar sakit. Doktor mengesahkan Rohana mengalami kekurangan darah dan menasihatkannya untuk banyak berehat. "Ketika saya sakit, apa yang mengharukan saya ialah Nabila sendiri yang menjaga saya. Memicit kepala saya, malah menghantar makanan kepada saya," katanya bercerita tentang anak istimewanya itu. Selain Nabila, Rohana mempunyai lima lagi anak perempuan iaitu Nadirah, 23, yang sedang menuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Sains Politik; Nadia, 21, juga menuntut di universiti yang sama dalam bidang Kewangan; Natrah, 19, kini menuntut di Kolej Universiti Teknologi dan Pengurusan Malaysia; Noor Diana, 15, belajar di Sekolah Menengah Seksyen 9, Shah Alam dan anak bongsunya, Noor Nayli, 6. Apabila diminta menceritakan keistimewaan Nabila, dengan senyuman terukir pada wajahnya, dia memberitahu Nabila merupakan seorang kanak-kanak yang aktif. Menurutnya, Nabila suka membantunya ketika di dapur. Sama ada memotong sayur atau mengukur sukatan beras untuk dimasak, Nabila boleh melakukannya sendiri. "Walaupun dia macam itu (kanak-kanak istimewa), dia pandai membuat kerja dapur. Saya tidak pernah memaksanya. Dia sendiri bersemangat menolong saya. Dia juga suka bergambar dan pandai bergaya di depan kamera," ujarnya lagi. Kali pertama penulis berjumpa Nabila di rumahnya, Nabila sendiri membuka pintu sambil memberitahu, emaknya pergi ke kedai sekejap. Kemudian, dia menepuk-nepuk kerusi sambil mempelawa saya duduk. Terdetik di hati saya betapa sopan kanak-kanak ini. Sambil menjamu selera berlaukkan ayam masak merah, mulutnya rancak bercerita mengenai drama yang ditontonnya. Apabila emaknya pulang dengan membawa beg plastik berisi roti dan kek, dia terus mendapatkan emaknya sambil berkata: "mama ni cantiklah". Mengakhir perbualan, Rohana berkata, walaupun sukar dia menjaga Nabila, namun rezeki sentiasa ada. Malah semasa dia menghadapi masalah kewangan, muncul Mdm Evelyn E. L. Ch'ng yang kini menjadi insan yang sudi membantu serta penasihat dalam syarikat yang diusahakan Rohana dan suami. Menurutnya, dia bertemu dengan Evelyn ketika mengikuti salah satu program motivasi. Rohana mengikuti program itu untuk menaikkan semangat dan kekuatan diri kepada sesiapa sahaja yang menghadapi masalah. Antara pertolongan Evelyn ialah membantunya mengadakan seminar 'Selamatkan Adik Nabila' bagi mengutip dana untuk Nabila. Seminar itu telah diadakan pada 17 Januari lalu dan berjaya mengumpul sumbangan sehingga RM25,000. Bagi mereka yang mahu menyumbang untuk membiayai kos pembedahan Nabila, bolehlah menghubungi Rohana di talian 019-3618 983 atau Evelyn).

No comments: