Monday, February 2, 2009

Artikel Utusan Malaysia

Misi kumpul dana pembedahan

KEDATANGAN bulan Mac ini dinantikan penuh debaran oleh Bedah Razak dan suaminya, Abdul Raes Abdul Razak kerana anak istimewa mereka, Nabila, bakal menjalani satu pembedahan besar yang cukup kritikal.

Bagaimanapun, sementara menanti tarikh itu sekali lagi dugaan menimpa apabila Abdul Raes tidak semena-mena diberhentikan kerja tanpa alasan kukuh.

"Sudahlah wang pembedahan masih tidak mencukupi, sekarang suami pula diberhentikan kerja. Buntu seketika saya dibuatnya.

"Namun, Tuhan Maha Kaya pada waktu inilah saya ditemukan dengan Evelyn C'hng iaitu seorang pelatih pemulihan profesional dan dia berkongsi misi dan visi yang sama dengan saya," ujarnya.

Kata Bedah, Evelyn yang bertanggungjawab melahirkan idea untuk melakukan seminar kebajikan, Save Adik Nabila yang berlangsung di Dewan Konvensyen di Wisma MCA, Jalan Ampang, baru-baru ini.

Di samping membincangkan mengenai cara-cara penjagaan terhadap anak sindrom down oleh para penceramah jemputan, seminar yang dianjurkan bersama SMI Malaysia, IDC Group of Companies dan juga kumpulan Hing Yap itu, turut diadakan bagi mengumpul dana untuk pembedahan Nabila.

"Saya bukanlah sombong, tetapi saya tidak mahu dipandang untuk meminta simpati, kalau boleh saya mahu orang yang memberi mendapat sesuatu daripada apa yang diberi, justeru idea untuk membuat seminar ini adalah satu cara yang paling baik," jelas Bedah.

Sumbangan yang dikumpul melalui seminar tersebut dapat menampung dua pertiga sahaja daripada jumlah sebenar kos pembedahan dan dapatlah dibayar untuk bayaran pendahuluan bagi pembedahan jantung terbuka untuk Nabila pada 27 Mac nanti.

"Segalanya telah diuruskan termasuk membayar pendahuluan sebanyak RM28,000 kepada pihak Institut Jantung Negara (IJN).

"Pada 23 Mac ini Nabila akan dimasukkan ke IJN, 25 Mac, doktor akan membuat cardiac care dan dua hari kemudian, pembedahan jantung terbuka PA Bending akan dilakukan.

"Saya amat berterima kasih kepada Evelyn, penganjur seminar, Helen Seibt dan semua penceramah, juruacara, tenaga kerja SMIMalaysia dan IDC Group of Companies serta artis jemputan yang dengan ikhlas menyumbang tenaga mereka.

"Tidak lupa kepada semua ahli keluarga yang telah bertungkus lumus menjual tiket seminar dan mendapatkan sumbangan peribadi daripada pihak individu," katanya.

Sementara itu, Evelyn yang turut serta sepanjang pertemuan itu berkata, untuk membantu sesama manusia tidak timbul persoalan tentang kaum, warna kulit, agama atau apa sahaja.

Beliau yang kini menjadi tenaga pengajar profesional untuk BNR Global, syarikat yang baru ditubuhkan oleh Bedah sejak sebulan lalu, terpanggil membantu Nabila setelah melihat sendiri apa yang dilalui oleh anak kecil itu.

Evelyn berkata, sebagai sahabat, beliau akan membantu sedaya mungkin termasuk menganjurkan seminar kebajikan Save Adik Nabila.

"Kami memilih tema We Can Make a Difference dengan harapan bahawa rakyat Malaysia sama-sama membantu untuk mewujudkan masyarakat penyayang dan prihatin," tambah Evelyn.

Kepada menghulurkan sumbangan kepada adik bolehlah dimasukkan ke dalam akaun Bank Simpanan Nasional : 10100-29-00034116-5.

No comments: